Syamsul Yusof enggan ceraikan isteri, Mentua sanggup jadi saksi kes Syamsul pukul Puteri Sarah
KUALA LUMPUR – Susulan dakwaan nusyuz dan keluar rumah tanpa izin suami, pelakon Puteri Sarah mendedahkan mentuanya, Datin Patimah Ismail menawarkan diri menjadi pencelah dan saksi membabitkan krisis rumah tangganya bersama Syamsul Yusof.
Menurut Sarah, Patimah menghubunginya bagi menawarkan kesudian memandangkan dia lebih tahu kemelut yang berlaku sepanjang tempoh krisis.
“Pagi tadi mak mentua saya (Patimah) WhatsApp hubungi saya untuk mencelah dan ingin menjadi saksi apabila berhadapan dengan orang ketiga dan Syamsul,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.
Ketika ditanya reaksi apabila keputusan permohonan perceraian yang ditunggu-tunggu tidak menjadi kenyataan, pelakon itu hanya ketawa.
“Happy birthday to me (Selamat hari jadi untuk saya). Itu sahaja yang boleh saya cakap,” selorohnya.
Menerusi prosiding hari ini, Syamsul enggan melepaskan isterinya, dan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengarahkan pasangan berkenaan dirujuk kepada Jawatan Kuasa Pendamai (JKP).
Sebelum itu Puteri Sarah mengemukakan bukti baharu yang mendakwa pernah dipukul suaminya itu sekitar 2020, namun tidak membuat laporan polis kerana ketika itu masih sayangkan Syamsul
Pengarah sensasi, Syamsul Yusof mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung dakwaan terbaharu Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin yang mendedahkan dia pernah dipukul suaminya itu tiga tahun lalu.
Pengarah The Original Gangster itu hanya menggelengkan kepala ketika ditanya kumpulan media yang menunggunya di luar kamar Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.
Malah pemilik nama sebenar Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, itu juga tidak memberi sebarang komen berkenaan keengganan menceraikan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin seperti dipohon isterinya itu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.
Sebaik Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas, mengarahkan pasangan berkenaan dirujuk kepada Jawatan Kuasa Pendamai (JKP), dia terus keluar menuju ke luar mahkamah.
Diiringi peguamnya, Roshdan Sujak, Syamsul dilihat hanya menunjukkan isyarat jari tanda aman selain Allah yang satu.
Pertanyaan mengenai keengganannya melepaskan isteri seperti dipohon juga tidak mendapat sebarang reaksi.
Begitupun, Roshdan ketika berhujah di mahkamah berkata, setakat ini Syamsul tidak mahu menceraikan Puteri Sarah kerana menyifatkan masih ada sinar untuk memperbaiki hubungan perkahwinan mereka.
“Masih ada sinar untuk pasangan ini. Pihak kami tidak setuju pelantikan hakam untuk kes perceraian ini,” katanya.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Berdasarkan dokumen, antara alasan dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikul Islam 6, dan Summayah, 4, tahun.
@liputan_7