Kuantan: Tanggal 21 Januari lalu menjadi detik terindah dalam hidup Nurul Anis Natasya Mohd Zawawi yang berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal dan kerdil apabila disatukan dengan lelaki normal yang menjadi pilihan hatinya.
Nurul Anis Natasya 'disunting' Muhammad Nashrul Ridhuan Mohd Nawi sebagai teman hidup selepas menyulam cinta sejak lebih tiga tahun lalu.
Pasangan masing-masing berusia 21 tahun itu bernikah di daerah ini dan video persandingan mereka tular di media sosial sehingga mencuri perhatian warganet yang turut 'meraikan' dengan doa dan kata positif.
Berkongsi cerita, Nurul Anis Natasya yang berketinggian 118 sentimeter (sm) berkata, sebelum ini dia takut andai suaminya malu untuk memperisterikan dirinya yang berstatus OKU, yang mana semua jarinya pendek dan kedua kaki bengkok.
Bagaimanapun, katanya, perasaan itu hilang dan dia yakin sepenuhnya dengan aturan Allah SWT selepas melihat kesungguhan Muhammad Nashrul Ridhuan sepanjang perkenalan mereka.
"Sebelum ini saya tidak yakin mahu berkawan rapat dengan suami, berkenalan dengan keluarganya dan hadap (berhadapan) rakan, malah takut juga suami malu dapat isteri seperti saya.
"Mulanya juga ingatkan hanya cinta biasa dan tak sangka hubungan kami sampai ke jenjang pelamin. Saya bersyukur dan gembira dengan jodoh diberikan oleh Allah SWT," katanya yang tinggal di Kampung Seberang Sungai Ular, ketika dihubungi.
Katanya, dia dan suami berkenalan melalui WhatsApp dan mengakui tertarik dengan sikap yang baik, peramah, pandai menjaga hati dan ringan tulang pasangannya itu.
"Saya OKU sejak lahir dan tinggi pula hanya 118sm, manakala tinggi suami saya 160sm. Saya tidak pernah sedih dengan keadaan fizikal, malah berasa diri sama saja seperti orang normal lain," katanya yang bekerja sebagai kerani.
Berhubung video perkahwinannya yang tular, wanita istimewa itu berkata, dia tidak menyangka warganet memberi perhatian pada video terbabit dan mengakui gembira serta terharu membaca komen yang positif dan kata semangat daripada mereka.
Sementara itu, Muhammad Nashrul Ridhuan yang bekerja di sebuah kilang berkata, dia tidak melihat kekurangan dan status istimewa isterinya sebagai halangan untuk melangsungkan perkahwinan asalkan wujud keserasian di antara mereka.
"Isteri seorang yang memahami, sabar dengan saya dan sikap yang ada pada dia cukup istimewa, malah dia juga pandai memasak terutama nasi goreng udang yang menjadi makanan kegemaran saya.
"Alhamdulillah, keluarga saya juga menerima isteri, malah sentiasa menyokong saya untuk memperisterikan Anis (Nurul Anis Natasya)," katanya.
@liputan_7