Pegawai hina anggota polis turut ugut orang awam

Pegawai hina anggota polis turut ugut orang awam

"Dia kemudian mengugut mahu memukul pengadu dan turut memarahi semua orang yang berada di lokasi kejadian," katanya

Kuala Lumpur: Bukan sahaja dikatakan menghina dua anggota polis pangkat rendah, wanita yang tular di media sosial turut didakwa mengugut mahu memukul orang awam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis menerima laporan daripada seorang individu mendakwa didatangi wanita itu semasa berada di kedai makan di Taman Sri Gombak, Batu Caves pada 12 tengah hari semalam.

"Wanita itu yang memperkenalkan diri sebagai penjawat awam bertindak memarahi pengadu atas sebab membuat bising di rumah jiran.

"Dia turut menggunakan nada suara tinggi dan mengatakan ingin menahan pengadu kerana membuat bising.

"Dia kemudian mengugut mahu memukul pengadu dan turut memarahi semua orang yang berada di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, suspek juga mempersenda pegawai rendah polis dan tidak memberikan kerjasama untuk menunjukkan kad kuasa apabila diminta.

Bertindak atas laporan itu, beliau berkata, polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Katanya, pemeriksaan lanjut juga mengesan dua rakaman video yang tular di media sosial memaparkan kejadian itu.

"Suspek sudah dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau menasihati masyarakat supaya tidak terus menularkan video berkenaan dan memberikan komen yang boleh menggugat ketenteraman awam serta mengganggu proses siasatan.

Terdahulu, tular dua klip video berdurasi 24 dan 10 saat yang dimuat naik di media sosial dan menerima pelbagai reaksi masyarakat.

Dalam video tular itu kelihatan seorang wanita tempatan mencemuh lans koperal polis, sambil seorang lagi anggota cuba menenangkan keadaan.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!